Selasa, 20 Oktober 2015

Cerpen: Hanya Seketika (non editing)

 “Ibu!” Firdaus terduduk daripada pembaringan. Matanya terbeliak. Seketika kemudian, dia beristigfar, tangan kanannya pula menggosok perlahan dada. Dia bermimpi dia berjumpa dengan seorang wanita yang membahasakan dirinya sebagai ibu. Ibu. Eheh! Dia benci akan wanita itu. Mindanya teringatkan peristiwa dia ditinggalkan oleh ibu di pusat kebajikan kanak-kanak. Ketika itu usianya baru enam tahun. Dia masih mentah, masih kecil ketika itu. Jadi dia tidak mampu hendak berbuat apa. Sehingga kini dia tidak tahu punca ibunya menghantar dia ke pusat kebajikan ini.
Firdaus kembali berbaring. Dia terkebil-kebil memandang kipas yang ligat berpusing di siling. Dia tidak dapat tidur walaupun dia tahu esok merupakan hari pertamanya bersekolah di sekolah baharu. Lama-kelamaan matanya berasa mengantuk. Tanpa dia sedar, dia sudah terlelap kembali.
SMK Bandar Banting, Selangor.
“Nama saya Muhammad Firdaus bin Muhammad Fariz,” Firdaus memperkenalkan dirinya. Dia menghadiahkan senyuman manisnya kepada semua murid di dalam kelas. Firdaus memandang guru yang sedang duduk di atas kerusi. Guru yang bertanda nama Aminah itu mengangguk kepala membenarkan Firdaus duduk semula ke tempat duduknya. Cikgu Aminah menyambung semula sesi pembelajaran dan pengajaran. Setakat ini Firdaus berasa tenang dan seronok belajar di sini, namun kegembiraannya hanya seketika. Matanya terbuntang memandang guru yang melangkah masuk ke dalam kelas. Ibu.
“Selamat pagi kelas. Hari ini kita akan belajar tentang pembentukan gamet. Saya mahu kamu lihat dan baca buku teks muka surat 183,” guru tersebut berkata sambil membuka buku teks pada muka surat 183. Dia masih tidak perasan bahawa terdapat murid baharu di dalam kelasnya. “Baiklah, saya mahu seseorang membacakan perenggan pertama,” mata guru tersebut menyoroti wajah setiap muridnya. Matanya tertancap pada wajah seseorang. Murid baharu. “Saya rasa ada murid baharu. Boleh anda perkenalkan diri anda?”
Firdaus yang sedang mengelamun, tersentak apabila bahunya dicuit seseorang. Dia memandang kawannya di sebelah, sambil mengangkat kening kanannya. “Cikgu Khalisyah bertanya nama kau,” kawannya berkata. Firdaus memandang guru di hadapan kelas, lalu berdiri.
“Na..., na..., nama saya..., Mu..., Muhammad Firdaus bin Muhammad Fariz,” Firdaus menjawab dengan nada yang tergagap-gagap. Dia jadi tidak betah dengan keadaan sekarang, dia tidak suka.
Cikgu Khalisyah terpegun memandang Firdaus yang sedang menunduk kepalanya itu. Matanya bergenang, nama itu. Dia kenal nama itu. Nama anak lelaki yang terpaksa dia tinggalkan di pusat kebajikan kanak-kanak. Dia terpaksa meninggalkan anaknya demi keselamatan anaknya itu. Musuh dalam selimut arwah suaminya mengugut dia mahu membunuh anak lelaki kesayangannya itu jika tidak mahu menyerahkan syarikat milik arwah suaminya. Dia cemas dan takut. Dia tiada sesiapa selain arwah suaminya. Keluarga belah arwah suaminya tidak pernah sukakannya kerana perbezaan taraf. Dia dan suami bagaikan burung enggang dengan pipit. Dia juga anak yatim piatu. Oleh itu, Cikgu Khalisyah membuat keputusan meninggalkan anaknya di pusat kebajikan kanak-kanak. Dia tidak sangka bahawa hari ini dia akan bertemu dengan anaknya itu.
“Cikgu Khalisyah, Firdaus keluar kelas,” seorang murid yang duduk di hadapan menghentikan lamunannya. Cikgu Khalisyah memandang sekeliling. Dia baru perasan tempat duduk murid baharu itu kosong.
“Cikgu keluar kelas sekejap ya. Cikgu ada hal, kamu jangan bising-bising. Buat kerja yang cikgu suruh buat itu,” Cikgu Khalisyah memberi arahan, lalu melangkah keluar kelas tergesa-gesa. Matanya melilau-lilau melihat sekeliling, namun langkahnya terhenti melihat ramai murid dan guru sedang mengerumuni seseorang. Seseorang yang sedang terbaring. Cikgu Khalisyah berasa mahu mendekati kumpulan itu. 'Siapakah agaknya orang itu?' bisik hati Cikgu Khalisyah. Dia melangkah pantas. Matanya terbuntang. “Firdaus, anak ibu! Firdaus...,” Cikgu Khalisyah terduduk. Dia memangku kepala anaknya itu. “Bangun Firdaus..., jangan buat ibu macam ini. Ibu minta maaf, ibu minta maaf. Firdaus, ibu sayang Firdaus,” Cikgu Khalisyah menangis teresak-esak sambil mengusap kepala Firdaus. Air matanya pula tidak henti menitis, lalu jatuh ke wajah Firdaus.
Hospital Besar Banting, Selangor.
Firdaus menggerakkan jarinya perlahan. Tangannya berasa kebas. Dia mahu mengangkat tangannya, namun pergerakannya terhenti. Matanya memandang wajah seorang wanita yang sedang duduk ketiduran di tepinya. Tangan wanita itu tidak lepas daripada genggaman tangannya. Terdetik rasa rindu dan sayang di dalam hatinya, namun cepat-cepat dihalang. Rasa benci dia terhadap wanita ini tidak dapat menandingi rasa sayang dan rindunya. Dia mahu bangun, pergi daripada melihat wajah wanita ini.
“Firdaus dah bangun?” wanita itu menyoal Firdaus. Firdaus yang sedang cuba hendak membangunkan dirinya terhenti, namun dia tidak menjawab pertanyaan wanita itu jauh sekali hendak memandang. Dia cuba bangun sekali lagi. “Firdaus nak pergi mana sayang? Baringlah, Firdaus masih sakit,” sambung Cikgu Khalisyah. Tangan Firdaus cuba dicapai.
“Aku nak keluar. Aku tidak mahu lihat muka engkau,” Firdaus berkata dengan nada yang kasar. Tangan Cikgu Khalisyah yang cuba mencapai tangannya ditepis kasar. “Jangan sentuh aku, aku tidak suka orang kejam macam engkau ini menyentuh badan aku,” sambung Firdaus. Mata Cikgu Khalisyah bergenang. Dia sedih mendengar kata-kata anaknya itu.
“Firdaus, dengar penjelasan ibu. Ibu buat semua itu kerana terpaksa. Ibu buat semua itu kerana ibu sayang Firdaus, ibu...,” Cikgu Khalisyah cuba menjelaskan perbuatannya dahulu.
“Kalau engkau sayangkan aku, engkau tidak akan meninggalkan aku dekat rumah kebajikan itu. Sebelas tahun aku tunggu, sebelas tahun aku tunggu engkau melawat aku,” Firdaus memotong percakapan ibunya. Wajahnya masam.
Air mata Cikgu Khalisyah menitis. “Firdaus, dengar penjelasan ibu. Ibu buat begitu kerana musuh arwah papa mengugut ibu hendak membunuh kamu jika ibu tidak menyerahkan syarikat arwah papa. Ibu tidak tahu hendak berfikir cara lain. Ibu tiada saudara-mara lain. Hendak mengharapkan keluarga arwah papa, mereka membencikan ibu. Semasa itu ibu cemas dan takut. Ibu takut kehilangan sayang, namun ibu tetap mahu menjaga amanah yang papa tinggalkan kepada ibu untuk diserahkan kepada Firdaus,” Cikgu Khalisyah menjelaskan dengan lebih terang. Wajah masam Firdaus sudah sedikit kendur. Perlahan-lahan Cikgu Khalisyah menyentuh tangan Firdaus, dia mengusap tangan anaknya itu. “Ibu terpaksa sayang, ibu terpaksa. Sekarang ibu sudah tidak kisah jika orang itu mahu mengambil alih syarikat papa kerana ibu mahu anak ibu sentiasa berada di sisi ibu. Ibu minta maaf Firdaus, ampunkan ibu,” Cikgu Khalisyah memeluk badan Firdaus. Dia menangis teresak-esak di bahu anaknya.
Hati Firdaus tersentuh. Sebenarnya dia memang berasa sangat rindu dan sayang akan ibunya. Perlahan-lahan dia membalas pelukan ibunya. Dia mahu mengucapkan kata-kata rindu dan maaf, namun kepalanya berasa pening. Tekaknya berasa loya. Firdaus menolak perlahan badan ibunya, lalu termuntah. Cikgu Khalisyah terkejut melihat keadaan Firdaus yang sedang bermuntahkan darah. Dia cemas, lalu dengan keadaan yang tergesa-gesa dia memanggil doktor.
Beberapa minggu kemudian,
Cikgu Khalisyah memangku kepala Firdaus sambil mengusap lembut kepala anaknya. Dia berada di luar kawasan hospital. Atas permintaan Firdaus, dia mahu meluangkan masa bersama-sama ibunya di sebuah taman, walaupun Cikgu Khalisyah tahu bahawa kesihatan Firdaus tidak mengizinkan. Firdaus mempunyai luekimia. Sama seperti arwah suaminya. Penyakit Firdaus sudah berada pada tahap keempat iaitu tahap terakhir. Cikgu Khalisyah bersyukur kerana anaknya mahu memaafkan dia. Dia juga bersyukur kerana anaknya mahu meluangkan masa bersama-samanya walaupun mungkin hanya seketika. Dia tidak kisah, dia akan meluangkan masa dengan sebaik-baiknya untuk anak kesayangannya. Dia akan menebus kembali masa-masa dahulu yang terbiar untuk anaknya walaupun cuma sekejap sahaja.
“Ibu...,” Firdaus memandang wajah ibunya yang tunduk memandang wajahnya juga. Dia mengukir senyuman manis walaupun dia tahu bibirnya pucat. “Firdaus minta maaf jika pernah berkasar dengan ibu,” sambung Firdaus perlahan. Air matanya bergenang, namun tidak mengalir.
“Ibu pun minta maaf jika ibu berbuat salah kepada Firdaus,” Cikgu Khalisyah masih mengusap kepala anaknya lembut.
“Ibu...,” Firdaus memanggil ibunya lagi.
“Kenapa sayang?” Cikgu Khalisyah menyoal lembut sambil memandang kembali wajah anaknya.
“Firdaus nak ibu tahu, Firdaus sangat..., sangat..., sangat sayangkan ibu,” Firdaus mengucapkan kata sayang dengan nada yang perlahan. Sungguh hari ini dia berasa penat, namun kata sayangnya itu pasti mahu dia ucapkan juga.
“Ibu pun sangat..., sangat..., sangat sayangkan Firdaus,” Cikgu Khalisyah juga mengucapkan kata sayangnya kepada Firdaus. Dahi anaknya dicium lembut. “Firdaus nak tahu kenapa ibu dan papa bagi nama Firdaus sebagai Firdaus?” soal Cikgu Khalisyah. Firdaus mengangguk kepala. Dia mahu tahu. “Firdaus ialah salah satu syurga Allah. Arwah papa cakap, anak lelaki papa mesti soleh. Jadi Firdaus pasti akan mendapat syurga Allah,” Cikgu Khalisyah bercerita.
Firdaus tersenyum. “Firdaus tahu ibu. Ustaz di pusat kebajikan dahulu pernah memberitahu Firdaus,” Firdaus berkata perlahan. Dia teringkat akan nasihat ustaz agar menghormati ibu kita walaupun dia telah membuang kita kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Firdaus insaf, dia sedar akan kesalahannya. Dia bersyukur kerana ibunya mahu memaafkannya. Dia juga bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama-sama ibunya walaupun cuma seketika. “Ibu, Firdaus mengantuk..., Firdaus nak ibu dodoikan Firdaus,” Firdaus berkata sambil tersenyum. Dia mahu bermanja dengan ibunya.
Cikgu Khalisyah memandang wajah Firdaus. Air matanya bergenang, namun dia tidak mahu mengalirkan air matanya di hadapan Firdaus. Dia tahu masa anaknya akan tiba pada bila-bila sahaja. Jadi dia harus bersedia. “Firdaus nak ibu dodoikan Firdaus? Hmm, ibu dodoikan ya...,” Cikgu Khalisyah menepuk perlahan peha Firdaus. “Ya zal jalaliwal ikram..., ya zal jalaliwal ikram..., ya zal jalaliwal ikram,” air mata Cikgu Khalisyah menitis. Suaranya sedikit serak, namun dia meneruskan nyanyiannya. Dia mahu mendodoikan anaknya itu. “Amitsna ála dinil islam...,” suara Cikgu Khalisyah lembut dan perlahan. Nada yang melankolik cukup membuatkan sesiapa yang mendengar menitiskan air mata. Air mata Cikgu Khalisyah menitis lagi, lalu terjatuh ke muka Firdaus. Firdaus yang hampir terlena membuka matanya perlahan-lahan.
“Ibu..., jangan menangis. Ibu jangan sedih. Ibu janji, ya?” Firdaus mengelap pipi ibunya. Tangan Firdaus terasa sejuk dan sedikit mengeletar. Cikgu Khalisyah menggangguk, dia berjanji tidak mahu menangis lagi. Dia mendodoi kembali anaknya.
 “Tidur anak ibu..., tidur sayang..., tidur Firdaus, sayang... Jangan menangis, ibu ada..., tidurlah anak ibu,” Cikgu Khalisyah menyambung nyanyiannya perlahan. Di cuping telinganya, jelas mendengar anaknya mengucap kalimah suci itu. Dia menutup perlahan matanya kerana tahu bahawa ajal anaknya sudah tiba. Cikgu Khalisyah cepat-cepat mengelap air mata yang hendak mengalir di pipinya. 'Firdaus, sayang. Semoga kamu ditempatkan dalam kalangan para ulama dan solehin, semoga kamu tenang di sana,' bisik hati Cikgu Khalisyah yang telah kehilangan satu-satunya permata berharganya di dunia ini. Dia tidak menyalahkan takdir, malah dia bersyukur kerana Allah masih memberikannya peluang untuk bersama-sama anaknya walaupun hanya seketika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan