“Ibu!”
Firdaus terduduk daripada pembaringan. Matanya terbeliak. Seketika
kemudian, dia beristigfar, tangan kanannya pula menggosok perlahan
dada. Dia bermimpi dia berjumpa dengan seorang wanita yang
membahasakan dirinya sebagai ibu. Ibu. Eheh! Dia benci akan wanita
itu. Mindanya teringatkan peristiwa dia ditinggalkan oleh ibu di
pusat kebajikan kanak-kanak. Ketika itu usianya baru enam tahun. Dia
masih mentah, masih kecil ketika itu. Jadi dia tidak mampu hendak
berbuat apa. Sehingga kini dia tidak tahu punca ibunya menghantar dia
ke pusat kebajikan ini.
Firdaus
kembali berbaring. Dia terkebil-kebil memandang kipas yang ligat
berpusing di
siling.
Dia tidak dapat tidur walaupun dia tahu esok merupakan hari
pertamanya bersekolah di sekolah baharu. Lama-kelamaan matanya berasa
mengantuk. Tanpa dia sedar, dia sudah terlelap kembali.
SMK
Bandar Banting, Selangor.
“Nama
saya Muhammad Firdaus bin Muhammad Fariz,” Firdaus memperkenalkan
dirinya. Dia menghadiahkan senyuman manisnya kepada semua murid di
dalam kelas. Firdaus memandang guru yang sedang duduk di atas kerusi.
Guru yang bertanda nama Aminah itu mengangguk kepala membenarkan
Firdaus duduk semula ke tempat duduknya. Cikgu Aminah menyambung
semula sesi pembelajaran dan pengajaran. Setakat ini Firdaus berasa
tenang dan seronok belajar di sini, namun kegembiraannya hanya
seketika. Matanya terbuntang memandang guru yang melangkah masuk ke
dalam kelas. Ibu.
“Selamat
pagi kelas. Hari ini kita akan belajar tentang pembentukan gamet.
Saya mahu kamu lihat dan baca buku teks muka surat 183,” guru
tersebut berkata sambil membuka buku teks pada muka surat 183. Dia
masih tidak perasan bahawa terdapat murid baharu di dalam kelasnya.
“Baiklah, saya mahu seseorang membacakan perenggan pertama,” mata
guru tersebut menyoroti wajah setiap muridnya. Matanya tertancap pada
wajah seseorang. Murid baharu. “Saya rasa ada murid baharu. Boleh
anda perkenalkan diri anda?”
Firdaus
yang sedang mengelamun, tersentak apabila bahunya dicuit seseorang.
Dia memandang kawannya di sebelah, sambil mengangkat kening kanannya.
“Cikgu Khalisyah bertanya nama kau,” kawannya berkata. Firdaus
memandang guru di hadapan kelas, lalu berdiri.
“Na...,
na..., nama saya..., Mu..., Muhammad Firdaus bin Muhammad Fariz,”
Firdaus menjawab dengan nada yang tergagap-gagap. Dia jadi tidak
betah dengan keadaan sekarang, dia tidak suka.
Cikgu
Khalisyah terpegun memandang Firdaus yang sedang menunduk kepalanya
itu. Matanya bergenang, nama itu. Dia kenal nama itu. Nama anak
lelaki yang terpaksa dia tinggalkan di pusat kebajikan kanak-kanak.
Dia terpaksa meninggalkan anaknya demi keselamatan anaknya itu. Musuh
dalam selimut arwah suaminya mengugut dia mahu membunuh anak lelaki
kesayangannya itu jika tidak mahu menyerahkan syarikat milik arwah
suaminya. Dia cemas dan takut. Dia tiada sesiapa selain arwah
suaminya. Keluarga belah arwah suaminya tidak pernah sukakannya
kerana perbezaan taraf. Dia dan suami bagaikan burung enggang dengan
pipit. Dia juga anak yatim piatu. Oleh itu, Cikgu Khalisyah membuat
keputusan meninggalkan anaknya di pusat kebajikan kanak-kanak. Dia
tidak sangka bahawa hari ini dia akan bertemu dengan anaknya itu.
“Cikgu
Khalisyah, Firdaus keluar kelas,” seorang murid yang duduk di
hadapan menghentikan lamunannya. Cikgu Khalisyah memandang
sekeliling. Dia baru perasan tempat duduk murid baharu itu kosong.
“Cikgu
keluar kelas sekejap ya. Cikgu ada hal, kamu jangan bising-bising.
Buat kerja yang cikgu suruh buat itu,” Cikgu Khalisyah memberi
arahan, lalu melangkah keluar kelas tergesa-gesa. Matanya
melilau-lilau melihat sekeliling, namun langkahnya terhenti melihat
ramai murid dan guru sedang mengerumuni seseorang. Seseorang yang
sedang terbaring. Cikgu Khalisyah berasa mahu mendekati kumpulan itu.
'Siapakah agaknya orang itu?' bisik hati Cikgu Khalisyah. Dia
melangkah pantas. Matanya terbuntang. “Firdaus, anak ibu!
Firdaus...,” Cikgu Khalisyah terduduk. Dia memangku kepala anaknya
itu. “Bangun Firdaus..., jangan buat ibu macam ini. Ibu minta maaf,
ibu minta maaf. Firdaus, ibu sayang Firdaus,” Cikgu Khalisyah
menangis teresak-esak sambil mengusap kepala Firdaus. Air matanya
pula tidak henti menitis, lalu jatuh ke wajah Firdaus.
Hospital
Besar Banting, Selangor.
Firdaus
menggerakkan jarinya perlahan. Tangannya berasa kebas. Dia mahu
mengangkat tangannya, namun pergerakannya terhenti. Matanya memandang
wajah seorang wanita yang sedang duduk ketiduran di tepinya. Tangan
wanita itu tidak lepas daripada genggaman tangannya. Terdetik rasa
rindu dan sayang di dalam hatinya, namun cepat-cepat dihalang. Rasa
benci dia terhadap wanita ini tidak dapat menandingi rasa sayang dan
rindunya. Dia mahu bangun, pergi daripada melihat wajah wanita ini.
“Firdaus
dah bangun?” wanita itu menyoal Firdaus. Firdaus yang sedang cuba
hendak membangunkan dirinya terhenti, namun dia tidak menjawab
pertanyaan wanita itu jauh sekali hendak memandang. Dia cuba bangun
sekali lagi. “Firdaus nak pergi mana sayang? Baringlah, Firdaus
masih sakit,” sambung Cikgu Khalisyah. Tangan Firdaus cuba dicapai.
“Aku
nak keluar. Aku tidak mahu lihat muka engkau,” Firdaus berkata
dengan nada yang kasar. Tangan Cikgu Khalisyah yang cuba mencapai
tangannya ditepis kasar. “Jangan sentuh aku, aku tidak suka orang
kejam macam engkau ini menyentuh badan aku,” sambung Firdaus. Mata
Cikgu Khalisyah bergenang. Dia sedih mendengar kata-kata anaknya itu.
“Firdaus,
dengar penjelasan ibu. Ibu buat semua itu kerana terpaksa. Ibu buat
semua itu kerana ibu sayang Firdaus, ibu...,” Cikgu Khalisyah cuba
menjelaskan perbuatannya dahulu.
“Kalau
engkau sayangkan aku, engkau tidak akan meninggalkan aku dekat rumah
kebajikan itu. Sebelas tahun aku tunggu, sebelas tahun aku tunggu
engkau melawat aku,” Firdaus memotong percakapan ibunya. Wajahnya
masam.
Air
mata Cikgu Khalisyah menitis. “Firdaus, dengar penjelasan ibu. Ibu
buat begitu kerana musuh arwah papa mengugut ibu hendak membunuh kamu
jika ibu tidak menyerahkan syarikat arwah papa. Ibu tidak tahu hendak
berfikir cara lain. Ibu tiada saudara-mara lain. Hendak mengharapkan
keluarga arwah papa, mereka membencikan ibu. Semasa itu ibu cemas dan
takut. Ibu takut kehilangan sayang, namun ibu tetap mahu menjaga
amanah yang papa tinggalkan kepada ibu untuk diserahkan kepada
Firdaus,” Cikgu Khalisyah menjelaskan dengan lebih terang. Wajah
masam Firdaus sudah sedikit kendur. Perlahan-lahan Cikgu Khalisyah
menyentuh tangan Firdaus, dia mengusap tangan anaknya itu. “Ibu
terpaksa sayang, ibu terpaksa. Sekarang ibu sudah tidak kisah jika
orang itu mahu mengambil alih syarikat papa kerana ibu mahu anak ibu
sentiasa berada di sisi ibu. Ibu minta maaf Firdaus, ampunkan ibu,”
Cikgu Khalisyah memeluk badan Firdaus. Dia menangis teresak-esak di
bahu anaknya.
Hati
Firdaus tersentuh. Sebenarnya dia memang berasa sangat rindu dan
sayang akan ibunya. Perlahan-lahan dia membalas pelukan ibunya. Dia
mahu mengucapkan kata-kata rindu dan maaf, namun kepalanya berasa
pening. Tekaknya berasa loya. Firdaus menolak perlahan badan ibunya,
lalu termuntah. Cikgu Khalisyah terkejut melihat keadaan Firdaus yang
sedang bermuntahkan darah. Dia cemas, lalu dengan keadaan yang
tergesa-gesa dia memanggil doktor.
Beberapa
minggu kemudian,
Cikgu
Khalisyah memangku kepala Firdaus sambil mengusap lembut kepala
anaknya. Dia berada di luar kawasan hospital. Atas permintaan
Firdaus, dia mahu meluangkan masa bersama-sama ibunya di sebuah
taman, walaupun Cikgu Khalisyah tahu bahawa kesihatan Firdaus tidak
mengizinkan. Firdaus mempunyai luekimia. Sama seperti arwah suaminya.
Penyakit Firdaus sudah berada pada tahap keempat iaitu tahap
terakhir. Cikgu Khalisyah bersyukur kerana anaknya mahu memaafkan
dia. Dia juga bersyukur kerana anaknya mahu meluangkan masa
bersama-samanya walaupun mungkin hanya seketika. Dia tidak kisah, dia
akan meluangkan masa dengan sebaik-baiknya untuk anak kesayangannya.
Dia akan menebus kembali masa-masa dahulu yang terbiar untuk anaknya
walaupun cuma sekejap sahaja.
“Ibu...,”
Firdaus memandang wajah ibunya yang tunduk memandang wajahnya juga.
Dia mengukir senyuman manis walaupun dia tahu bibirnya pucat.
“Firdaus minta maaf jika pernah berkasar dengan ibu,” sambung
Firdaus perlahan. Air matanya bergenang, namun tidak mengalir.
“Ibu
pun minta maaf jika ibu berbuat salah kepada Firdaus,” Cikgu
Khalisyah masih mengusap kepala anaknya lembut.
“Ibu...,”
Firdaus memanggil ibunya lagi.
“Kenapa
sayang?” Cikgu Khalisyah menyoal lembut sambil memandang kembali
wajah anaknya.
“Firdaus
nak ibu tahu, Firdaus sangat..., sangat..., sangat sayangkan ibu,”
Firdaus mengucapkan kata sayang dengan nada yang perlahan. Sungguh
hari ini dia berasa penat, namun kata sayangnya itu pasti mahu dia
ucapkan juga.
“Ibu
pun sangat..., sangat..., sangat sayangkan Firdaus,” Cikgu
Khalisyah juga mengucapkan kata sayangnya kepada Firdaus. Dahi
anaknya dicium lembut. “Firdaus nak tahu kenapa ibu dan papa bagi
nama Firdaus sebagai Firdaus?” soal Cikgu Khalisyah. Firdaus
mengangguk kepala. Dia mahu tahu. “Firdaus ialah salah satu syurga
Allah. Arwah papa cakap, anak lelaki papa mesti soleh. Jadi Firdaus
pasti akan mendapat syurga Allah,” Cikgu Khalisyah bercerita.
Firdaus
tersenyum. “Firdaus tahu ibu. Ustaz di pusat kebajikan dahulu
pernah memberitahu Firdaus,” Firdaus berkata perlahan. Dia
teringkat akan nasihat ustaz agar menghormati ibu kita walaupun dia
telah membuang kita kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Firdaus
insaf, dia sedar akan kesalahannya. Dia bersyukur kerana ibunya mahu
memaafkannya. Dia juga bersyukur kerana dapat meluangkan masa
bersama-sama ibunya walaupun cuma seketika. “Ibu, Firdaus
mengantuk..., Firdaus nak ibu dodoikan Firdaus,” Firdaus berkata
sambil tersenyum. Dia mahu bermanja dengan ibunya.
Cikgu
Khalisyah memandang wajah Firdaus. Air matanya bergenang, namun dia
tidak mahu mengalirkan air matanya di hadapan Firdaus. Dia tahu masa
anaknya akan tiba pada bila-bila sahaja. Jadi dia harus bersedia.
“Firdaus nak ibu dodoikan Firdaus? Hmm, ibu dodoikan ya...,”
Cikgu Khalisyah menepuk perlahan peha Firdaus. “Ya zal jalaliwal
ikram..., ya zal jalaliwal ikram..., ya zal jalaliwal ikram,” air
mata Cikgu Khalisyah menitis. Suaranya sedikit serak, namun dia
meneruskan nyanyiannya. Dia mahu mendodoikan anaknya itu. “Amitsna
ála dinil islam...,” suara
Cikgu Khalisyah lembut dan perlahan. Nada yang melankolik cukup
membuatkan sesiapa yang mendengar menitiskan air mata. Air mata Cikgu
Khalisyah menitis lagi, lalu terjatuh ke muka Firdaus. Firdaus yang
hampir terlena membuka matanya perlahan-lahan.
“Ibu...,
jangan menangis. Ibu jangan sedih. Ibu janji, ya?” Firdaus mengelap
pipi ibunya. Tangan Firdaus terasa sejuk dan sedikit mengeletar.
Cikgu Khalisyah menggangguk, dia berjanji tidak mahu menangis lagi.
Dia mendodoi kembali anaknya.
“Tidur
anak ibu..., tidur sayang..., tidur Firdaus, sayang... Jangan
menangis, ibu ada..., tidurlah anak ibu,” Cikgu Khalisyah
menyambung nyanyiannya perlahan. Di cuping telinganya, jelas
mendengar anaknya mengucap kalimah suci itu. Dia menutup perlahan
matanya kerana tahu bahawa ajal anaknya sudah tiba. Cikgu Khalisyah
cepat-cepat mengelap air mata yang hendak mengalir di pipinya.
'Firdaus, sayang. Semoga kamu ditempatkan dalam kalangan para ulama
dan solehin, semoga kamu tenang di sana,' bisik hati Cikgu Khalisyah
yang telah kehilangan satu-satunya permata berharganya di dunia ini.
Dia tidak menyalahkan takdir, malah dia bersyukur kerana Allah masih
memberikannya peluang untuk bersama-sama anaknya walaupun hanya
seketika.